Pages


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, November 14, 2011

Kesian...Tiada Waris Jengah Sofea Yang Ditinggalkan Di Mahkota Parade


Melaka: Lebih seminggu selepas ditinggalkan di tepi tandas lelaki sebuah pusat beli-belah di bandar ini, malah berita mengenainya disiarkan Jumaat lalu, penemuan kanak-kanak perempuan berusia setahun setengah itu masih misteri kerana tiada mana-mana pihak mahupun ahli keluarga tampil menuntutnya hingga lewat petang semalam.

Begitupun, kanak-kanak malang yang dipanggil Sofea itu kini ceria dan selamat dalam jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan ditempatkan di rumah perlindungan Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.

Pengarah JKM negeri, Daud Arbah berkata, pihaknya masih menunggu dan pada masa sama memantau perkembangan Sofea yang masih belum diketahui identitinya.

“Sehingga hari ini (semalam) selepas berita penemuannya disiarkan Harian Metro, kami masih menunggu ibu bapa kanak-kanak perempuan terbabit ataupun warisnya untuk datang ke Pejabat JKM Melaka Tengah.

“Namun, setakat ini belum ada mana-mana pihak menghubungi kami bertanyakan mengenainya. Justeru kanak-kanak terbabit masih dalam jagaan JKM untuk tempoh sebulan daripada tarikh perintah jagaan sementara mengikut peruntukan Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang diluluskan Mahkamah Majistret sebelum ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, apabila tempoh perintah jagaan sementara itu tamat dan belum juga ada pihak yang berhak menuntut jagaan terhadap kanak-kanak perempuan itu, pihaknya akan memfailkan permohonan baru di Mahkamah Kanak-Kanak.

Katanya, terpulang kepada mahkamah yang bersidang menentukan sama ada Sofea diserahkan kepada JKM dan ditempatkan di rumah perlindungan sehingga mencapai usia 18 tahun atau sebaliknya.

“Penempatan kanak-kanak secara tetap di rumah perlindungan JKM ini selama tempoh 3 tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, mengikut mana yang lebih pendek mengikut peruntukan Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001.

Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun setengah menangis ketakutan ditinggalkan bersendirian di tepi tandas lelaki di pusat beli-belah Mahkota Parade malam, 5 November lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kanak-kanak malang itu dilihat ditinggalkan seorang lelaki sebelum ditemui kakitangan pusat beli belah itu.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Superintendan (Operasi/Risikan) R Gunarajan berkata, pihak sudah membuka siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. -hm
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...