Pages


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, November 20, 2011

Pemain Negara Bakal Naik Barracuda Lagi Ke Stadium Gelora Bung Karno

Jakarta: Pasukan bola sepak Malaysia berkemungkinan akan menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ke-26 Isnin, kata pengurus skuad negara, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata keselamatan pemain adalah lebih penting dan langkah menaiki kereta perisai tersebut bukanlah asing buat skuad itu.

"Malah kita harap PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) dan polis dapat berbincang bagi memudahkan pasukan kita pergi dan balik kerana esok, persekitaran stadium pastinya akan sesak dengan sekitar 100,000 penyokong mereka yang hadir ke stadium," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan akhir yang akan bermula pada pukul 7 malam Isnin waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia), Hamidin berkeyakinan Malaysia mampu menundukkan tuan rumah di gelanggang mereka sendiri.

"Kita telah belajar dan mengambil pengalaman daripada perlawanan sebelumnya, bertemu Indonesia di peringkat Kumpulan A pada Khamis dan saya lihat pemain kita mempunyai semangat yang kental dan diharap mereka mampu pamerkan aksi yang terbaik dan mencipta kemenangan esok.

"Esok kita akan membuktikan bahawa Malaysia masih yang terbaik di Asia Tenggara," katanya.

Hamidin berkata Indonesia pastinya lebih tertekan pada final kerana pemainnya pasti mengharapkan kemenangan berganda di hadapan penyokong dan di tempat sendiri. - BERNAMA

Gejala Budak Pantai Di Pulau Tioman

Pulau Tioman: Berwajah unik, muda, seksi, sasa dan mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, itulah kelebihan pekerja pantai khususnya golongan lelaki sekitar pulau ini hinggakan ada pelancong wanita yang cair dengan penampilan mereka.

Digelar beach boy atau budak pantai, kehadiran golongan itu nyata menjadi daya penarik kepada pelancong asing terutama wanita namun ada kalanya kurang disenangi penduduk setempat yang melihat ia ancaman kepada budaya dan sosio ekonomi masyarakat di situ.

Seorang budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Aju, 20, berkata sejak tiga tahun terbabit dalam aktiviti pelancongan di pulau itu, sudah dua wanita meminta dia menjadi teman di bilik tidur mereka dan kedua-duanya pelancong asing.

“Sebelum ini saya hanya mendengar cerita rakan mengenai perkara itu namun selepas ia benar-benar berlaku depan mata, saya tidak dapat menolak, tambahan pula mereka yang meminta saya ke bilik.

“Apapun perkara itu sebenarnya berlaku kerana saya berada dalam keadaan antara sedar atau tidak kerana pengaruh alkohol, kami sebenarnya bertemu kali kedua di sebuah restoran yang menyediakan minuman keras. “Ia bukannya pesta atau majlis tertentu sebaliknya restoran biasa yang tiba-tiba menjadi seakan pesta apabila semakin ramai pengunjung tiba,” katanya.

Ditanya mengapa dia mengunjungi restoran berkenaan, Aju berkata, dia hanya menemani pelanggan sebelum diajak minum bersama malah restoran itu sememangnya menjadi pilihan pelancong dari luar negara.

“Ia adalah tuntutan kerja dan pada masa sama ia memberi ruang untuk golongan seperti saya bergaul dengan masyarakat luar khususnya pelancong asing,” katanya.

Seorang lagi budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Din Lanun, 24, berkata kebanyakan pelancong yang sudi menjadi teman mereka biasanya mempunyai sebab atau agenda tersendiri kerana golongan itu biasanya membabitkan pelancong bajet atau backpacker.

Mereka biasanya ingin tinggal lebih lama dan untuk menjimatkan wang, mereka sanggup bermalam di rumah atau hotel bersama budak pantai yang kebanyakannya akan membiayai sewa hotel dan makan minum sepanjang mereka menginap.

“Biasalah jika mereka memberikan sesuatu mestilah mereka hendakkan sesuatu, bak kata orang situasi menang-menang,
” katanya.

Sementara itu, orang lama yang pernah bertugas sebagai budak pantai di situ yang mahu dikenali Lan Tatu, 40-an, berkata amalan gaya hidup Barat dalam kalangan budak pantai tidak sehebat zamannya kerana pelbagai agensi kini memantau aktiviti golongan itu.

“Dulu aksi ghairah pasangan boleh dilihat di mana-mana termasuklah di bandar Tioman, iaitu Kampung Tekek, selain pelbagai pesta tari di tepi pantai namun kini aktiviti itu tidak lagi wujud di sini kerana ada agensi yang memantau.

“Memang masih ada pesta tari menari dengan minuman memabukkan terutama ketika musim kehadiran pelancong ramai (Mac-Ogos) tetapi ia diadakan di kawasan terpencil terutama di Salang (kampung).

“Kebanyakan budak kita hanyut kerana kedudukan kampung itu yang agak terlindung selain harga minuman keras yang murah berikutan status pulau sebagai pulau bebas cukai,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Deborah Ghinjo, 25, berkata tidak semua pelancong asing mengambil kesempatan dengan mencari teman semata-mata untuk menetap di sesuatu tempat secara percuma atau murah.

“Ia sebenarnya atas kehendak sendiri kerana ada kalanya seseorang itu akan tertarik dengan cara hidup atau penampilan seseorang yang jarang dilihat di tempat asalnya di Barat, adalah perkara biasa apabila perkenalan antara lelaki perempuan dibawa ke bilik tidur. “Itupun berlaku atas dasar suka sama suka dan bukannya atas kehendak satu pihak saja, apapun saya faham adat dan budaya hidup masyarakat sesebuah negara berbeza dan sebagai pelancong kita cuba memahami sebanyak mungkin perkara itu untuk mengelak kesulitan di masa depan,” katanya. -HM

Kebun Jering Jadi Tempat Lelaki Warga Emas Lepaskan Nafsu Ke Atas Murid Tahun 6

ALOR GAJAH - Perubahan sikap yang berlaku ke atas ­seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah dekat sini, mendedahkan perbuatan kejam seorang lelaki warga emas yang didakwa merogol kanak-kanak terbabit sejak empat tahun lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan), Superintendan R Gunarajan berkata, kejadian itu berlaku sejak 2007 ketika mangsa berusia lapan tahun dan sedang bersekolah dalam Tahun Dua di sekolah terbabit sering diperkosa oleh suspek yang berusia 60 tahun sehingga penghujung 2010.

Menurutnya, difahamkan mangsa dirogol secara berterusan sejak 2007 dan perbuatan kejam itu disyaki dilakukan suspek berulang kali tidak mengira waktu sama ada di rumah atau di kebun jering berhampiran rumah mangsa di sebuah Felcra di daerah ini.

“Perubahan sikap mangsa itu disedari seorang guru kaunseling pada Selasa lalu yang melihat mangsa kemurungan sejak kebelaka ngan ini sebelum memujuk mangsa untuk menceritakan masalah yang dihadapi.

“Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol seorang lelaki yang juga jiran sebelah rumahnya ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah,” katanya.

Gunarajan berkata, selepas itu guru kaunseling itu menemui ibu bapa mangsa dan menceritakan kejadian yang berlaku sebelum diarahkan membuat laporan di balai polis berhampiran serta menjalani pemeriksaan di klinik.

“Mangsa yang dilihat sugul dan murung dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan dan hasil mendapati mangsa tidak mengandung,” katanya.

Katanya, suspek yang berusia 60 tahun itu ditahan di rumahnya pada petang laporan dibuat kedua ibu bapa mangsa dan suspek kini ditahan reman sehingga 22 November ini bagi menjalankan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperkosa gadis bawah umur dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Seksual dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) untuk siasatan lanjut,” katanya. -SH

Isu ISA: SUHAKAM Perlu Adukan Kepada Agong Tentang "Kebiadaban" Menteri KDN & KPN




Suhakam gesa bebas 13, henti guna ISA hingga akta baru digubal

KUALA LUMPUR,  — Suhakam melahirkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan tindakan Putrajaya menahan 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung dakwaan kegiatan gerakan militan di Sabah awal minggu ini ketika ia sedang dalam proses memansuhkan undang-undang tersebut.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, tindakan terbaru ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara – yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat.

“Selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Katanya, Suhakam juga menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan akan dijalankan di bawah akta berkaitan.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan penahanan 13 anggota kumpulan militan di Sabah baru-baru ini menggunakan ISA atas alasan dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.

Beberapa pihak menggesa agar kesemua 13 mereka dibebaskan.

Antaranya, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling menggesa polis supaya menjelaskan kedudukan sebenar penahanan itu supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan sangkaan buruk.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan juga mempertikaikan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan mahu memansuhkan ISA tetapi mereka ditahan.

Ismail berkata, soal keselamatan tidak harus dipermainkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab utama polis iaitu bagi membendung apa sahaja boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

Kelmarin, Ismail mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Hishammuddin pula berkata kesemua enam warga Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti militan akan diusir segera ke negara asal mereka.

Beliau berkata, tujuh warga tempatan yang turut ditahan bersama mereka akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai dan segala bukti dapat dikumpulkan.

Katanya, semua yang ditahan itu didapati mendapat latihan ketenteraan serta terbabit dalam penyeludupan senjata dan kegiatan mereka dikategorikan serius bukan saja oleh Malaysia tetapi juga pihak berkuasa Indonesia dan agensi lain di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak gunakan sewenang-wenangnya ISA. Ia akan terhad kepada isu keganasan jadi pengesahan pihak Indonesia itu sedikit sebanyak membantu membuktikan kewajaran tindakan kita,” katanya.

September lalu, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan sebarang individu semata-mata kerana ideologi politik.

Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan. -TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...