Pages


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, February 21, 2012

Menangani Masalah Disiplin Murid.

cikgu2

Masalah disiplin murid terdapat dimana sahaja baik di kampung atau di kota hanya senarionya sahaja yang berbeza.
Guru di kota mungkin akan berhadapan dengan masalah disiplin seperti keterlibatan murid dalam kegiatan merempit, berlepak di pasar raya atau menghabiskan masa melayari internet di pusat siber. Manakala guru di kampung pula mungkin akan berhadapan dengan murid yang ponteng sekolah dengan alasan membantu keluarga menoreh getah, menangkap ikan atau melepak di simpang-simpang jalan. Walau apa sahaja jenis atau bentuk kesalahan yang dilakukan, guru terutamanya guru permulaan harus bijak menggunakan pelbagai strategi untuk menanganinya.
Sudah menjadi kebiasaan bagi murid-murid menguji tahap kewibawaan guru-guru baru terutamanya guru-guru wanita. Murid-murid seumpama ini akan berasa megah apabila seseorang guru permulaan itu mengalah atau menunjukkan reaksi lemah seperti menangis atau marah ketika menghadapi situasi yang tidak menyenangkan dek karenah murid-murid.
Dalam hal ini guru-guru permulaan harus bijak menggunakan pelbagai strategi. Guru-guru tidak seharusnya emosional dalam menghadapi masalah ini. Seperti yang dinyatakan luahan rasa marah atau sedih tidak banyak membantu menangani masalah ini malah ia merupakan satu senario drama yang sememangnya dinanti-nantikan oleh murid-murid untuk ditonton. Beberapa strategi berikut mungkin mampu membantu menanganinya dalam situasi tertentu.
• Mengenali murid
Seseorang guru harus mengenali murid –muridnya secara lebih dekat dengan penuh kemesraan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh memarahi mereka. Minat dam masalah muri-murid harus dihayati dan ditangani. Tunjukkan kepada murid-murid melalui tindakan dan perawakan bahawa guru ialah rakan pembimbing mereka yang sentiasa mempunyai sifat keterbukaan dalam sebarang masalah.
Memanglah diakui bahawa proses ini bukannya cepat tetapi memakan masa yang panjang dan guru seharusnya banyak bersabar dan harus cekal dalam menghadapi sebarang cabaran.
  
• Komitmen yang ikhlas

Dalam sebarang tindakan guru seharusnya dapat mempamerkan komitmen yang sepenuhnya dengan seikhlas mungkin. Murid-murid dapat menilai diri guru sama ada pengajaran yang dilakukan hanya sekadar memenuhi masa mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran atau mampu memberi bimbingan dengan sepenuh hati.
Dalam hal ini guru seharusnya mahir dalam sesi pengajarannya, mempunyai peribadi yang mulia dengan sedikit unsur-unsur kecindan yang mampu memecah kesunyian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Memang penat, letih dan kadangkala membosankan apabila menghadapi karenah seperti ini, tetapi ingat anda telah membuat pilihan guru sebagai profesion anda.
Ia bukannya mudah sepertimana yang disangkakan sehinggakan anda sanggup meninggalkan profesion lama semata-mata untuk menjadi “guru” yang mungkin pada ketika itu membayangkan kerja guru mudah, tidak meletihkan banyak cuti dan bermacam-macam lagi.  Insya-Allah dengan azam baru, guru-guru permulaan akan terus menyemai bakti mendidik anak-anak bangsa.
Sumber maklumat  : Utusan Malaysia

Menangani Karenah Anak Kita.

IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak.

Assalamualaikum warahmatullah,

Anak-anak adalah anugerah Allah SWT yang sangat bernilai. Mereka adalah pewaris kita di dunia ini. Doa mereka sangat diperlukan ketika kita berada di alam barzakh. Kiriman doa setulus hati daripada anak-anak yang soleh adalah penawar di alam kubur.

Kehadiran mereka ke dunia ini di sambut dengan tangisan riang gembira oleh si ayah, si ibu hilang perit sakit melahirkannya hanya dengan menatap wajah si kecil yang masih kemerahan. Di benak ayah macam-macam yang terlintas daripada mula memberi nama hinggalah berkahwin dan mendapat cucu.

Beberapa minit itu ayah dapat membayangkan apa yang terbaik untuk warisnya itu. Nah, semua ini adalah gambaran kemeriahan awal dalam menyambut ahli baru dalam keluarga mereka.

Saya percaya, setiap kita akan berhadapan dengan situasi mencabar dalam membesarkan anak-anak. Bukan senang untuk membesarkan anak-anak, apatah lagi di zaman yang serba moden hari ini. Terdapat ibu bapa yang menghadapi karenah anak yang pelbagai sehingga memeningkan kepala ibu bapa.

Namun begitu, sebelum menyalahkan anak-anak, eloklah kita lihat kelemahan kita terlebih dahulu. Kita yakin tidak ada seorang pun di antara kita yang mahu anaknya menjadi kurang ajar, tidak menghormati ibu bapa, adik-beradik, sahabat handai dan selainnya. Pun begitu, ada yang sudah mengajar anaknya tapi tetap menjadi anak yang nakal kenapa? Persoalannya mungkin ada kesilapan dalam mendidik anak. Mungkin juga sumber rezeki ada unsur syubhat dan sebagainya.

Sesungguhnya setiap anak itu lahir ke dunia ini dalam keadaan suci bersih. Fitrahnya belum dicemari. Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Siapa yang benar-benar menjaga kesucian fitrah anak kita yang lahir bersama dengannya sebagai satu anugerah? Bukankah kita yang tanpa sedari telah mencemarkannya? Anak-anak kita degil mesti ada sebab, mesti ada punca, cubalah cari apakah yang menjadi puncanya. Gunakan mata hati untuk mengenal mana kelemahan kita terhadap mereka. Insya Allah, kita akan menemui jalan untuk membantu anak-anak.

Inilah yang disebut fitnah awlad ujian anak-anak. Manusia boleh sabar bila diuji dengan harta benda, kedudukan dan kemewahan. Tetapi belum tentu boleh sabar dan tabah menghadapi ujian anak-anak.

Dalam al-Quran, Allah SWT memberitahu manusia bahawa anak-anak itu adalah ujian, firman-Nya yang bermaksud, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal: 28)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun: 9)

Bila anak memberontak

Kita sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini. Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah 2~4% di kalangan kanak-kanak manakala 10% di kalangan remaja dan 15~20% di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5% daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Menurut Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak. Tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa. Namun sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

Didik akidah anak

Ramai ibu bapa lupa kepentingan mendidik akidah kepada anak-anak. Kadang-kadang sengaja tidak diendahkan kerana sudah sekolah agama mengajar anak kita, atau beranggapan bahawa cukup dengan apa diajar di sekolah.

Sebenarnya mengikut Islam, ayah bertanggungjawab sepenuhnya dalam pendidikan anak-anak. Kemudian barulah difikirkan bersama isteri untuk mendidik anak-anak. Tugas isteri lebih kepada mengasuh anak. Mendidik dan mengasuh adalah perkara yang berbeza. Hari ini, bukan sedikit ibu bapa yang tidak menjalankan kewajipan terhadap anak-anak mereka. Ayah tidak mahu mendidik anak-anak kerana merasakan itu adalah tugas si ibu, si ibu yang bekerja pula tidak lagi mengasuh anak-anak dan menyerahkan tugas kepada pembantu rumah atau pusat jagaan anak-anak.

Apabila anak tidak mengenal Allah SWT selaku pencipta sekelian alam, ayahlah orang yang pertama yang seharusnya dipersalahkan. Ini kerana tanggungjawab ahli keluarga secara mutlak di atas bahu si ayah. Tanggungjawab ini Allah SWT perintahkan di dalam al-Quran, firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)....” (Surah al-Tahrim: 6)

Kebanyakan ahli tafsir berpendapat konsep menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka bermula di dunia lagi dengan mengajar mereka perintah-perintah Allah SWT. Sebab itu tanggungjawab ayah adalah ajar anak-anak dan isteri mengenal Allah. Ajar mereka ibadat, ajar mereka membaca al-Quran serta ajar mereka halal dan haram dalam Islam.

Anak-anak yang bermasalah adalah anak-anak yang kosong jiwanya. Jiwa mereka tidak diisi dengan iman dan takwa. Didik akhlaknya, didik ibadatnya, didik jiwanya, didik kemasyarakatannya, didik ilmunya, didik perkembangan jati dirinya.

Di bawah ini ada beberapa perkara yang ingin dikongsikan untuk kita sama-sama bertindak sebagai ibu ayah yang prihatin. Antaranya :

# Ibu bapa semestinya bersangka baik dengan Allah SWT dalam menjalankan usaha tarbiyah anak-anak mereka.

# Bersikap lemah lembut dan prihatin terhadap anak-anak yang bermasalah.

# Sabar dalam menghadapi kerenah mereka.

# Konsisten dan berterusan dalam mengasuh mereka.

# Peruntukkan masa untuk bermain dengan mereka.

# Banyakkan bercerita kisah-kisah teladan anak-anak soleh atau kisah-kisah Nabi a.s.

# Berbicara dengan mereka mengenai kenikmatan syurga, seksa azab neraka, malaikat dan syaitan.

# Sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.

# Sentiasa bersangka baik dengan mereka.

# Banyakkan berdoa kepada Allah SWT

Semoga bermanafaat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...